KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) — Polis merampas kira-kira 2,700 karton rokok bernilai sekitar RM130,000 dipercayai rokok seludup, yang ditemui dalam sebuah kenderaan semasa ia ditahan dalam satu sekatan jalan raya (SJR) di Km 2.7 Lebuhraya LEKAS menghala arah Kajang, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata kenderaan Toyota Alphard itu ditahan dalam SJR yang dijalankan dalam operasi oleh bahagian pencegahan jenayah dan kongsi gelap pada kira-kira pukul 1.00 pagi.
Beliau berkata semasa pemeriksaan, polis menemui pelbagai bungkusan besar yang mengandungi ribuan karton rokok yang dipercayai rokok seludup, dan susulan penemuan, polis menahan seorang lelaki berumur lewat 30-an yang merupakan pemandu kenderaan itu.
“Polis merampas kira-kira 2,700 karton rokok pelbagai jenama, yang nilai keseluruhan dianggarkan sekitar RM130,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu di MACHANG, Kelantan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) Negeri merampas 60 kotak yang mengandungi kira-kira 2,040 kilogram minyak masak yang cuba diseludup ke negara jiran melalui pintu sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini, semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan Azanizam Affendi Juri berkata nilai rampasan terhadap barang kawalan subsidi itu adalah RM5,100 dan pihaknya turut merampas dua kenderaan, masing-masing bernilai RM10,000.
“Jumlah keseluruhan barangan yang disita dalam operasi ini dianggarkan RM25,100,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata menerusi Ops Benteng COVID-19 itu, pihaknya juga menahan tiga individu warga tempatan, masing-masing berumur 20an, di lokasi operasi di Jalan Pangkal Meleret menghala ke Tanah Merah.
Jelasnya, modus operandi digunakan penyeludup adalah membeli minyak masak daripada pemborong sekitar Machang dan seterusnya membawa barang kawalan bersubsidi itu ke sempadan untuk diseludup ke negara jiran.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku bahawa minyak masak itu akan dihantar ke pangkalan haram Bukit Lata, Pasir Mas untuk diseludup ke Mundok, Thailand. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 disyaki dengan niat melakukan penyeludupan,” katanya.
— BERNAMA