SERDANG, 26 Jan (Bernama)- Polis mematahkan sindiket penyeludupan minuman keras apabila merampas pelbagai jenama minuman keras bernilai kira-kira RM32,000 di sebuah stor penyimpanan di Taman Perindustrian Puchong, di sini, Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A. Anbalagan berkata stor terbabit dipercayai digunakan sindiket itu sejak enam bulan lepas untuk menyimpan minuman keras tidak bercukai.
Beliau berkata minuman keras yang dipercayai diseludup dari negara jiran itu adalah untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan taksiran cukai dianggarkan bernilai RM145,000.
“Kami percaya ia diedarkan di kedai-kedai runcit dan ada beberapa jenama didapati tidak biasa dilihat di pasaran. Mungkin ada permintaan khas buat masa ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, di sini.
Anbalagan berkata dalam serbuan itu polis menahan pembantu stor seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun dan polis kini memburu pihak-pihak yang terlibat dalam sindiket itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967 kerana cuba menyeludup barangan larangan dan Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen kerana tinggal lebih masa,” katanya.
— BERNAMA