TAIPING, 25 Nov (Bernama) — Polis menahan seorang lelaki dan merampas 10,128 karton rokok pelbagai jenis bernilai RM400,000 disyaki rokok seludup, dalam sebuah gudang di Jalan Air Kuning di sini, petang ini.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penjualan rokok seludup di kawasan Pokok Assam kira-kira pukul 11 pagi ini sebelum sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah membuat risikan selama kira-kira tiga jam.
“Semasa membuat intipan di gudang yang berkunci itu tiada sebarang pergerakan keluar masuk dikesan, dan polis terpaksa memotong kunci gudang untuk membuat serbuan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di sini, hari ini.
Beliau berkata dalam serbuan itu polis menahan seorang lelaki warga emas berumur 67 tahun yang merupakan pemilik gudang dan merampas pelbagai jenama rokok seludup antaranya John JGI, John D-Blend, John White, John White 252, John Britain, John Britain 10S dan John D-Blend.
Menurutnya polis turut merampas sebuah van yang dipercayai digunakan untuk mengedar rokok berkenaan kepada pelanggan.
Osman berkata suspek yang mempunyai dua rekod lampau itu akan direman esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Sementara itu di Kuala Lumpur, 10 lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pusat panggilan perjudian dalam talian di sebuah premis peniagaan di Bangsar South, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata suspek berusia lingkungan 25 dan 41 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Pantai dalam satu serbuan pada pukul 4.00 petang.
Beliau berkata kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda RM5,000 hingga RM50,000 dan penjara maksimum tiga tahun jika sabit kesalahan.
“Kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis hari ini selepas keterangan mereka direkodkan. Polis turut merampas komputer riba, telefon bimbit, modem dan router yang digunakan dalam aktiviti pusat panggilan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumber: BERNAMA