polis Muhyiddin 3R
Gambar: BERNAMA

Polis Rakam Keterangan Muhyiddin Berkaitan Isu 3R Di MIDA Esok

Iqbal Yasir

Polis Rakam Keterangan Muhyiddin Berkaitan Isu 3R Di MIDA Esok

KUALA LUMPUR — Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan diambil keterangan oleh polis di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Jalan Sentral pada Selasa, lapor Sinar Harian.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain hari ini.

Ia selepas bekas Perdana Menteri ke-8 itu didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) sewaktu berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan.

“Kita akan merakam keterangan beliau (Muhyiddin) pada jam 11 pagi di MIDA.

“Setakat ini, kita telah menerima 30 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu,” ujarnya sewaktu dihubungi.

Terdahulu, ucapan Ahli Parlimen Pagoh terbabit tular di media sosial selepas didakwa menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Sementara itu, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Naib Presiden UMNO menzahirkan kekecewaan dan terkilan susulan dengan kenyataan yang dibuat Oleh bekas Perdana Menteri itu.

SK sebelum ini melaporkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan murka terhadap kenyataan Muhyiddin Yassin berhubung pelantikan perdana menteri.

Titah baginda, Muhyiddin secara sengaja dan sinis mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Sebagai bekas perdana menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kupada rakyat bahawa Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih perdana menteri ke-10.

“Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Kenyataan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat.

“Berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara.

“Perkara 43(2) pula menetapkan bahawa Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut,” titah Tengku Hassanal dalam satu kenyataan.

Sumber: Sinar Harian

BACA: Cecah Lebih 360 Juta Pengikut, Ini 10 Kelab Bola Sepak Dengan Peminat Paling Ramai Di Dunia