KLUANG, 31 Dis (Bernama) — Sebutir bom jenis Aerial dipercayai milik tentera British yang digunakan ketika zaman menentang komunis berjaya dimusnahkan di sebuah kebun kelapa sawit berhampiran Jalan Kuari Sinar Cemerlang, Paloh, dekat sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Low Hang Seng berkata bom itu ditemui pemilik kebun itu, Tan Hwee Cheg, 39, dua hari lepas.
Beliau berkata sebaik sahaja pihaknya menerima laporan sepasukan anggota serta pegawai yang dihantar ke lokasi untuk siasatan telah menemui bom yang dikenali sebagai UXO itu, yang berukuran 57 inci panjang, dan berat 454 kilogram.
“Ia (bom) mampu memberi kesan kecederaan yang tinggi dan kesan sampingan lain sekiranya berlaku letupan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Jelas Low operasi Unit Pemusnah Bom (UPB) diketuai oleh Komander Unit Pemusnahan Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor ASP Saifullah Jaya@Yahaya.
“Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Daerah Kluang turut hadir ke lokasi memantau tindakan pemusnahan ini disebabkan terdapat bahan kimia dikenali Benzene Hexa Cloride (BHC) yang terdapat di dalam UXO itu yang boleh mendatangkan bahaya kepada persekitaran.
Beliau berkata pemusnahan bom berjaya dilaksanakan tanpa melibatkan sebarang kerosakan harta benda mahupun kecederaan atau kehilangan nyawa, dan ia selesai sepenuhnya pada pukul 2.15 petang tadi.
— BERNAMA