Polis Mohon Kerjasama Kesan Remaja Dilapor Hilang Sejak Semalam
Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, Putri Ariyana Fariesya Ariffadilah, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Gemilang, Bentong, semalam.
Menurut laporan, kali terakhir gadis itu dilihat pada Ahad, sekitar 6.35 pagi, di kawasan Kampung Chamang, berdekatan Kedai Runcit Sarah.
Beliau kemudiannya dipercayai menaiki perkhidmatan e-hailing menuju ke 99 Speedmart Taman Gemilang sebelum gagal dikesan selepas itu.
Putri Ariyana mempunyai kulit sawo matang, dengan ketinggian kira-kira 154 sentimeter dan berat 46 kilogram.
Beliau berbadan sederhana dan ketika kali terakhir dilihat, memakai baju berwarna biru serta seluar bercorak petak-petak.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar, mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kehilangan itu.
Beliau turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan remaja berkenaan untuk tampil membantu siasatan.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di talian 09-2231999.
Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi Balai Polis Bentong di talian 09-2222222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
BACA: Polis Mohon Kerjasama Kesan Wanita Hilang
Sumber: IPD Bentong