Gambar: Pasukan Polis Marin Wilayah Satu

Polis Marin Rampas Daun Ketum Bernilai RM94,800

Amira

KANGAR, 12 Mac (Bernama) — Polis Marin dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kuala Perlis merampas 948 kilogram (kg) daun ketum bernilai kira-kira RM94,800 dalam dua serbuan berasingan semalam dan awal hari ini.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang ACP Rosman Ismail berkata serbuan pertama dilakukan di Ladang Harumanis Semadong pada 4.15 petang semalam manakala serbuan kedua di kawasan persisiran Pantai Kurung Tengar Kuala Perlis pada 3.30 pagi tadi.

“Pasukan serbuan telah terserempak dengan sekumpulan lelaki melarikan diri menaiki motosikal melalui celah-celah pokok mangga Harumanis. Pemeriksaan di ladang itu menemukan longgokan bungkusan guni putih berisi daun ketum seberat 548 kg dianggarkan bernilai RM54,800.

“Di persisiran Pantai Kurung Tengar pula menemukan longgokan plastik hitam berisi daun ketum seberat 400 kg dianggarkan bernilai RM40,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosman berkata pihaknya percaya kesemua daun ketum berkenaan cuba diseludup ke negara jiran melalui jalan darat dan laut.

Katanya kesemua rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Padang Besar dan Kuala Perlis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Sumber: BERNAMA