PASIR PUTEH, 30 Okt (Bernama) — Pasukan Polis Marin (PPM) Tok Bali Wilayah Tiga merampas 19,000 karton rokok putih dan tiga buah bot pelancong bernilai RM3.95 juta, malam semalam dalam serbuan di Tebing Sungai Pengkalan Ubi Keling, Kuala Besut, Terengganu.
Ketua Bahagian Operasi Risik PPM Wilayah Tiga DSP Azuhar Md Nor berkata, kejayaan itu hasil intipan selama empat jam dilokasi tersebut semasa operasi OP Benteng Laut kira-kira jam 10.30 malam.
“Bagaimanapun empat atau lima orang dari bot berkenaan sempat melarikan diri di dalam gelap setelah menyedari kehadiran anggota polis,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal, PPM Wilayah Tiga Tok Bali, di sini, hari ini.
Azuhar berkata, pemeriksaan ke atas bot pertama menemukan 12,000 karton rokok, 4,000 karton pada bot kedua dan 3,000 karton pada bot ketiga dan kesemua bot dan rokok berkenaan dibawa ke Markas Taktikal PPM Tok Bali untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, siatan akan dijalankan mengikut Akta Kastam 1967, termasuk menyiasat pemiliknya berdasarkan nombor pendaftaran yang dicatatkan pada ketiga-tiga bot berkenaan dan pihaknya mendapati penyeludup sengaja menggunakan bot-bot pelancong untuk mengelirukan pihak berkuasa.
— BERNAMA