Gambar sekadar hiasan

Polis Marin Rampas 17,000 Karton Rokok Seludup, Tahan Seorang Lelaki

Sha Rossa

KUALA TERENGGANU, 31 Dis (Bernama) — Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga menahan seorang lelaki dan merampas 17,000 karton rokok seludup selepas menahan sebuah lori di Kampung Tepoh di Batu Rakit dekat Kuala Nerus, hari ini.

Timbalan Komander PPM Wilayah Tiga, Supt Mohd Razlin Abdul Manaf berkata lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan pada pukul 8.15 pagi di tepi jalan Kampung Tepoh, dan beliau menganggarkan lori bersama dengan duti import rokok berkenaan bernilai RM2.5 juta.

Beliau berkata lori itu pada mulanya dikejar selama kira-kira 30 minit sebelum ia berhenti berhampiran sebuah simpang lampu isyarat dan pemandunya cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap.

Katanya hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut polis menemui 340 kotak yang mengandungi 17,000 karton rokok berjenama John.

“Polis percaya rokok yang diseludup itu adalah untuk pasaran di sekitar Kuala Terengganu dan ia dijalankan oleh sebuah sindiket yang telah beroperasi sejak setahun atau dua tahun lepas. Kami juga sedang berusaha menjejaki rakan sekongkol suspek,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

— BERNAMA