
Polis Kesan Dua Lelaki Buat Aksi Tidak Senonoh Dalam Surau
Polis sedang mengesan dua lelaki tempatan yang dilapor membuat perkara tidak senonoh di dalam sebuah surau di Banting seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor, pihaknya menerima satu laporan polis mengenai kejadian tersebut pada kira-kira pukul 9.07 malam, malam tadi.
Jelas Ahmad Ridhwan, perbuatan aksi tidak senonoh itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan disaksikan oleh bilal surau berkenaan sebelum laporan polis dibuat olehnya.
“Pihak polis juga sedang menjalankan siasatan bagi mengesan pelaku dalam rakaman CCTV terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 377 D Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan kelucahan melampau di tempat awam yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai hingga dua tahun jika disabit kesalahan.
Justeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pelaku dalam kes itu diminta tampil beri kerjasama dengan polis bagi membantu siasatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Norhidayah Mohd yang boleh dihubungi di talian 017-4055363 atau 03-31872222.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah video berdurasi satu minit 49 saat yang memaparkan dua lelaki yang dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh ketika berada di sebuah surau.
Sumber: FB Polis Daerah Kuala Langat