Kota BahrPolis Kelantan merampas 56 kilogram (kg) ganja bernilai RM112,000 serta 157 peluru hidup dalam serbuan di Kampung Bukit Lata, Pasir Mas, Khamis lalu.
Ketua Polis Negeri DCP Shafein Mamat berkata dalam serbuan jam 4.30 pagi itu, anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) turut menemukan 550 miiliter kodein dan 55 biji pil Eramin 5 serta menahan seorang suspek lelaki berusia 40 tahun di rumah tersebut.
”Hasil soal siasat , suspek yang bekerja sebagai buruh membawa polis ke sebuah lagi rumah kira-kira 100 meter daripada lokasi pertama dan menemukan ketulan mampat ganja dalam sebuah kereta di situ,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Shafien berkata bekalan ganja itu diseludup dari negara jiran untuk pasaran Kelantan dan Kuala Lumpur.
Katanya, polis telah menyita dua kenderaan milik suspek bernilai RM70,000.
Beliau berkata suspek direman lima hari sehingga Selasa ini bagi membantu siastan mengikut Seksyen 39B, 39A dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
— BERNAMA