
Polis Jadi Penyelamat Pertama, Bantu Pelancong Thai Bersalin Dalam Kereta
Menanti saat kelahiran anak boleh menjadi kenangan paling indah buat pasangan suami isteri. Namun bagi sesetengah orang, penantian sebegini cukup mendebarkan.
Memang tidak dapat dinafikan, setiap ibu pasti mempunyai pengalaman berbeza-beza ketika bersalin. Ada di antara mereka yang mengambil masa yang agak lama ketika melalui proses tersebut, dan begitu juga ada yang sebaliknya.
Bagi mana-mana ibubapa, pemilihan hospital untuk melahirkan anak pasti sudah dirancang dari awal.
Selain itu, menjelang tarikh jangkaan bersalin, setiap ibu sudah pasti akan membuat persediaan kelengkapan bersalin. Namun, ada juga ibu berdepan pengalaman bersalin dalam kereta.
Polis jadi penyelamat pertama, bantu pelancong Thai bersalin dalam kereta
Terbaru, kelahiran yang tak dapat dijangka berlaku kepada pasangan suami isteri warganegara Thailand. Wanita yang sarat mengandung itu perlu mengharungi detik cemas apabila terpaksa bersalin di dalam kereta.
Menerusi laman Facebook rasmi PDRM, seorang pegawai polis bersama dua anggotanya menjadi ‘penyelamat pertama’ di lokasi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) apabila membantu pasangan berkenaan dalam proses kelahiran.
BACA: “Bini Aku Terberanak Dalam Kereta Wei,” Lelaki Jadi Bidan Terjun, Sambut Anak Dalam Triton
Pada awalnya, tiga anggota polis secara kebetulan sedang melakukan rondaan di kawasan itu, namun ditahan oleh warga Thailand terbabit untuk meminta bantuan.
Dalam pada itu, Inspektor Mat Fauzi bersama anggotanya iaitu Koperal Shahril serta Koperal Hariz Zulfadli dimaklumkan tentang kecemasan yang dihadapinya, kemudian bersetuju untuk mengiringi kenderaan yang dinaiki mereka ke hospital berhampiran.
Bagaimanapun, belum sempat untuk membawa ke hospital, wanita tersebut selamat melahirkan bayinya di tepi lebuhraya sebelum dibantu oleh ambulans yang tiba kemudian.
Ambulans yang kemudiannya tiba di lokasi kejadian memberikan rawatan kepada wanita itu.
BACA: PDRM Anjur Subuh Macam Jumaat Di Masjid Bukit Aman
Rata-rata komen di Facebook PDRM memuji sikap bertanggungjawab ketiga-tiga anggota polis yang membantu orang awam.
“Ramai lagi yang berjiwa mulia. Pedulikan nila setitik dan jangan bagi rosak susu sebelanga,” komen seorang warga maya.
“Terbaik PDRM,” komen lagi seorang warga maya.
Sumber: Laman Facebook Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police)