polis klang warga asing
Kredit: Sinar Harian

Polis & PGA Serbu Pelabuhan Klang, Ratusan Warga Asing Ditahan Untuk Dokumentasi

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Polis & PGA Serbu Pelabuhan Klang, Ratusan Warga Asing Ditahan Untuk Dokumentasi

Lebih 300 anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu kawasan penempatan di Persiaran Raja Muda Musa di Pelabuhan Klang hari ini.

Memetik Sinar Harian, kawasan berkenaan dikenali dengan kebanjiran warga asing yang menyewa beberapa unit kediaman di kawasan terbabit.

Selain itu, kawasan ini juga menjadi lokasi mereka untuk mencari rezeki antaranya berkerja di kedai runcit dan kedai makan.

Operasi berkenaan dilapor bermula sekitar 1.30 tengah hari dengan pihak berkuasa terlebih dahulu membuat kepungan di sekitar kawasan terbabit.

Kata Sinar Harian lagi, pihak berkuasa yang terlibat dalam operasi itu memeriksa bangunan-bangunan kediaman di sekitar kawasan pelabuhan berkenaan.

Ketika operasi dijalankan, terdapat segelintir warga asing yang didapati cuba untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Walau bagaimanapun, tindakan itu tidak berhasil memandangkan pihak berkuasa sudah pun mengepung kawasan itu.

Pada akhir operasi, lebih 500 warga asing telah ditahan untuk menjalani proses pemeriksaan dan tujuan dokumentasi.

Sinar Hairan memaklumkan, masih terdapat beberapa warga asing yang ditahan di sekitar kawasan berkenaan setakat pukul 3.00 petang.

Penduduk menyokong tindakan pihak berkuasa menangani isu ini

Dalam pada itu, Sinar Harian melaporkan penduduk setempat menyambut baik operasi yang dijalankan pihak berkuasa.

“Terima kasih PDRM, kalau boleh buatlah hari-hari,” kata salah seorang penduduk Persiaran Raja Muda Musa.

Rata-rata penduduk dan peniaga merasa senang hati dengan tindakan tegas yang diambil oleh pihak berkuasa.

Seorang penduduk tempatan berkata, kawasan berkenaan sememangnya dibanjiri warga asing yang berasal dari pelbagai negara.

Antaranya dari Bangladesh, Nepal serta beberapa negara lain sejak sekian lama.

“Sini memang ramai warga asing, terutamanya kalau hari minggu. Saya yang tinggal sini sejak berbelas tahun lalu memang rasa tak selesa.

“Terima kasih kepada pihak berkuasa yang jalankan operasi ini, hanya ALLAH sahaja yang dapat membalas jasa baik kalian,” ujar lelaki tersebut.

BACA: Norreen Sebak, Kongsi Kisah Hujan Lebat & Doa Makbul Di Bulan Rejab

Sumber: Sinar Harian