GERIK, 29 Dis (Bernama) — Polis menahan dua lelaki tempatan dipercayai anggota sindiket penyeludupan daun ketum dari Kedah ke Kelantan, di Kilometer 17 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di sini pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya merampas daun ketum seberat empat tan dengan anggaran nilai RM40,000 daripada kedua-dua lelaki berumur 52 dan 46 tahun itu, yang cuba diseludup dari Kedah ke Kelantan pada kira-kira pukul 10.30 malam.
Katanya hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, polis telah menahan sebuah lori dan pemeriksaan menemukan 800 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum, yang dianggar mempunyai nilai pasaran RM120,000.
“Siasatan mendapati kedua-dua lelaki menerima upah RM1,000 setiap seorang untuk membawa daun ketum dari Kedah untuk dijual di Kelantan, menggunakan lori yang disewa.
“Siasatan mendapati daun ketum itu dibeli dengan harga RM10 sekilogram dan dijual di pasaran dengan harga RM30 hingga RM40 sekilogram,” katanya dalam sidang media di IPD Gerik di sini, hari ini.
Zulkifli berkata kedua-dua suspek menggunakan Jalan Kupang-Gerik ke Kelantan, dengan jarak perjalanan sejauh 315 kilometer bagi mengaburi mata pihak berkuasa untuk menyeludup daun ketum itu.
Kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod berkaitan dadah dan kini direman tiga hari bermula semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
— BERNAMA