Seorang pegawai kanan serta pegawai rendah polis dari dilapor cedera parah akibat ditetak oleh seorang penagih dadah yang mengamuk dalam kejadian di Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36 di Shah Alam pada Selasa.
Difahamkan, segalanya bermula ketika mangsa, Inspektor (Insp) Mohd Zulhusni bersama Lans Koperal (L/Kpl) Mohd Ridzuwan dan lima lagi pegawai rendah polis lain dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim bagaimanapun berkata, suspek yang ketika itu mengamuk telah bertindak ganas dengan melanggar kenderaan jenis Honda Accord milik abangnya dengan menggunakan kereta jenis Nissan Navara.
Selain itu, suspek juga bertindak menghempas pasu bunga pada kenderaan abangnya dan turut mengejar abangnya dengan sebilah parang.
“Pasukan polis telah sampai ke rumah suspek di Kampung Sungai Kandis dan mendapati suspek enggan memberikan kerjasama dengan mengunci rumah tersebut.
“Insp Zulhusni bersama pasukan polis telah berjaya masuk ke dalam rumah dan lelaki tersebut telah bertindak melibas parang ke arah L/Kpl Mohd Ridzuwan, satu das tembakan dilepaskan oleh L/Kpl Mohd Ridzuwan untuk mempertahankan diri.
“Namun suspek terus menyerang dan menyebabkan L/Kpl Mohd Ridzuwan mengalami kecederaan parah di pergelangan tangan kiri (hingga) menyebabkan tiga jari tidak dapat digerakkan.
“Insp Mohd Zulhusni juga mengalami kecederaan di pergelangan tangan kanan ketika bersama pasukan polis bergelut untuk menangkap suspek,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamin, Amphetamine dan Tetrahydro Cannabino; Hydrocarboxy Lic Acid (THC) serta mempunyai rekod lampau bersabit Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
“Suspek telah dibenarkan tahanan reman selama tiga hari bermula 27 sehingga 29 September. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307/326 Kanun Keseksaan oleh Pegawai Penyiasat kes Insp Syazwani Binti Rossdi,” tambahnya.
BACA: Gadis Tionghua Hidupkan Seni Melayu, Diangkat Jadi Cikgu Zapin Di Negara China
Sumber: FB IPD Shah Alam