CHUKAI, 22 April (Bernama) — Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan ahli keluarga atau waris seorang lelaki yang ditemukan terperangkap di kawasan paya bakau di Kampung Enjin Gergaji di sini pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata mangsa berusia lingkungan 20-an tersebut dijumpai dalam keadaan lemah dengan seluruh badan diselaputi lumpur.
“Setakat ini, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti… Mangsa sekarang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kemaman.
“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Azman Alias berkata mangsa ditemukan pada jarak kira-kira 50 meter di kawasan paya bakau dari jalan kampung tersebut.
Katanya, bomba terpaksa melalui kawasan lumpur sedalam 0.3 meter ke lokasi sebelum berjaya menyelamatkan mangsa dengan menggunakan alat pengusung dan tali kira-kira 15 minit kemudian.
Tular menerusi aplikasi WhatsApp video berdurasi 38 saat yang memaparkan seorang lelaki dijumpai dalam keadaan terbaring dan lemah manakala seluruh badannya dipenuhi lumpur.
— BERNAMA