
Polis Buru Suspek Samun 70 iPhone, Tetak Pengawal Keselamatan
TELUK INTAN, 3 April (Bernama) — Polis Hilir Perak memburu suspek yang melarikan kira-kira 70 unit telefon pintar iPhone bernilai hampir RM300,000 dalam kejadian samun di Kompleks Menara Condong Teluk Intan, di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata dalam kejadian pada 2 pagi itu, seorang pengawal keselamatan di kompleks perniagaan tersebut cedera ditetak dengan kapak oleh suspek dan diikat di dalam tandas, sebelum suspek memecah masuk sebuah kedai telekomunikasi dan melarikan telefon bimbit di rak pameran.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian berjaya menjumpai beberapa barang kes yang boleh membantu siasatan dan pihak polis masih meneruskan usaha untuk mengesan serta menangkap suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu atau suspek terlibat diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Hilir Perak di talian 05-62992222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sementara itu, menurutnya pengawal keselamatan yang berusia lewat 60-an dirawat sebagai pesakit luar dan dalam keadaan stabil.
BACA: Warga Emas Disyaki Dibunuh Dalam Kejadian Samun Di Rumahnya

Sebelum ini, media melaporkan polis berjaya menahan dua lelaki tempatan yang disyaki melarikan wang tunai RM10,000 dalam kejadian samun menggunakan parang di hadapan Teega Tower, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, siasatan yang dijalankan berjaya mengesan dan menahan seorang suspek berusia 40-an yang disyaki terlibat dalam kes tersebut.
“Kita mengesan video tular itu pada Rabu, namun tangkapan sudah dibuat pada Isnin lalu iaitu pada hari sama kejadian.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, suspek pertama ditahan pada jam 10.15 pagi di Horizon Hill. Manakala suspek kedua pula ditahan pada jam 9 malam hari yang sama di Gelang Patah.
“Berdasarkan siasatan yang dilakukan, suspek mengaku terbabit dalam kes yang berlaku pada jam 9.45 pagi itu dengan cara melanggar kereta mangsa dan mencederakan mangsa menggunakan parang,” katanya.
Menurut Rahmat, menerusi penahanan itu, polis berjaya merampas RM10,000 yang disamun dari mangsa yang merupakan peniaga atas talian.
Selain itu, senjata parang dan kenderaan yang digunakan dalam kejadian turut dirampas.
Sumber: BERNAMA