
Polis Berkas Suspek Dalam Video Tular, Didakwa Samun Remaja Dalam Lif
Polis telah memberkas seorang suspek warga tempatan yang didakwa terlibat dalam kes samun ke atas seorang remaja lelaki dalam sebuah lif yang dipaparkan dalam video tular baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki berusia 43 tahun itu telah ditahan di sebuah pangsapuri pada Selasa.
“Polis telah menerima laporan berkaitan kejadian samun daripada seorang remaja lelaki berusia 14 tahun berhubung kejadian samun dalam lif sebuah pangsapuri di sini, pada Ahad.
“Polis kemudiannya terkesan satu video berdurasi 32 saat yang dimuat naik pemilik akaun TikTok yang memaparkan kejadian seorang lelaki melakukan samun ke atas seorang remaja lelaki dalam lif.
Bertindak atas maklumat, ketua polis bersama anggota unit ronda sektor (URS) Balai Polis Majidee telah membuat serbuan di sebuah pangsapuri.
Hasil serbuan polis berjaya memberkas seorang lelaki dan merampas satu telefon bimbit, sehelai seluar jean dan sepasang kasut.
BACA: Cara Set “Child Reminder” Pada Waze, Bantu Elak Kejadian Tertinggal Anak Dalam Kereta
Jelas Raub, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek pernah terlibat dalam empat kes jenayah sebelum ini.
Selain itu, suspek juga pernah terbabit dalam tiga kes dadah dan hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis morphine.
Bagi kes samun di dalam lif terbabit, kes akan disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan. Jika tertuduh didapati bersalah, pesalah boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai empat belas tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat.
Sebelum ini, tular video pendeka yang memaparkan rakaman kejadian ragut di dalam lif menerusi kamera litar tertutup (CCTV) baru-baru ini.
Dalam rakaman tersebut, suspek dilihat sedang melakukan perovokasi terhadap mangsa yang merupakan remaja lelaki berusia 14 tahun.
Apabila mangsa ingin keluar daripada pintu lif, suspek yang memakai topi keledar hitam telah menahannya daripada keluar.
Bagi mengelakkan mangsa daripada keluar, suspek telah berdiri di laluan pintu lif, bagi menghalangnya daripada tertutup.
Difahamkan, suspek telah berterusan melakukan provokasi sehingga mendapat habuan daripada mangsanya.
BACA: Walau Sederhana, Majlis Resepsi Sabri Yunus & Angeline Tan Disambut Meriah
Sumber: Sinar Harian