KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) — Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai mencuri patung sembahan dan peralatan sembahyang dari sebuah tokong di Kampung Baru Salak Selatan dalam kejadian Khamis lepas.
Ketua Polis Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata suspek berusia 44 tahun itu yang bekerja sebagai mekanik diberkas pada 10 malam hari sama di sebuah rumah di Jalan Gombak, Wangsa Maju dekat sini.
“Dalam kejadian pada 1 Okt itu, seorang ahli jawatankuasa tokong di kampung berkenan mendapati sebuah patung sembahan bernilai kira-kira RM3,000 hilang. Dia mengesyaki patung itu dicuri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya susulan tangkapan itu juga polis merampas 82 patung sembahan serta peralatan sembahyang daripada suspek.
Menerusi tangkapan ini juga polis percaya telah menyelesaikan beberapa kes serupa yang dilaporkan di beberapa kawasan sebelum ini, katanya.
Mohamed Mokhsein berkata semakan polis mendapati suspek yang kini direman empat hari mempunyai tiga rekod kesalahan lampau termasuk berkaitan dadah.
Sumber: BERNAMA