Polis Bantuan Berjaya Tahan Individu Disyaki Cuba Curi Kabel Rel – KTMB
Polis bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berjaya menggagalkan cubaan mencuri kabel rel milik KTMB berikutan tindakan pantas anggotanya menahan seorang individu yang mencurigakan, malam tadi.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, KTMB berkata suspek tersebut ditahan di kawasan berhampiran KM181.9, Ipoh.
Pemeriksaan lanjut yang dijalankan kemudian mendapati suspek turut membawa sebuah beg mengandungi kabel 16 milimeter sepanjang 20 milimeter milik KTMB.
“Tindakan pantas ini berjaya mengelakkan kerosakan infrastruktur serta gangguan operasi tren,” maklum KTMB.
Difahamkan, suspek telah diserahkan kepada Balai Polis Ipoh untuk tindakan lanjut.
Menurut KTMB, individu tersebut yang disyaki menceroboh premis KTMB boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 126, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Akta ini memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 jika disabitkan bersalah.
Bagi individu yang merosakkan harta KTMB sama ada dengan sengaja atau cuai pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya di bawah Seksyen 128, Akta APAD 2010.
Pihak KTMB menegaskan semua kawasan landasan merupakan kawasan larangan.
“Sebarang aktiviti pencerobohan atau cubaan mencuri aset rel adalah kesalahan serius yang membahayakan keselamatan operasi tren serta nyawa orang awam,” jelasnya lanjut.
Sumber: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)