
Pokok Tumbang, Perkhidmatan Tren KTMB Terjejas
KUALA LUMPUR — Dua perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengalami gangguan akibat pokok tumbang di Kilometer 386.50 antara Stesen Kuala Lumpur – Putra, petang tadi.
KTMB dalam satu kenyataan berkata, kejadian yang berlaku pada jam 4.01 petang itu menyebabkan alat talian atas (overhead line) terbingkas.
Susulan itu, operasi tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Lembah Klang bagi laluan operasi tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Lembah Klang bagi laluan Pelabuhan Klang – Tanjung Malim – Pelabuhan Klang serta Batu Caves – Pulau Sebang – Batu Caves terjejas.
Gangguan berkenaan mengakibatkan perkhidmatan tren mengalami kelewatan antara 60 hingga 120 minit kerana hanya satu landasan dapat digunakan.
“Bagi penumpang perkhidmatan tren ETS yang mengalami kelewatan melebihi dua jam, mereka boleh mendapatkan pemulangan tambang sekiranya memilih untuk tidak meneruskan perjalanan,” maklum kenyataan itu.
Tambah KTMB lagi, kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan oleh pasukan teknikal KTMB, manakala kakitangan di stesen dan anggota Polis Bantuan turut ditempatkan bagi melancarkan pergerakan penumpang yang terjejas.
KTMB turut memohon maaf kepada semua pengguna yang terjejas atas kesulitan yang dihadapi.
“Para pengguna yang terlibat juga boleh mendapatkan info melalui media sosial rasmi KTMB dan juga daripada kakitangan yang bertugas di stesen.
“Pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-97791200 atau layari media sosial rasmi KTMB,” maklum KTMB lagi.
Sumber: KTMB