Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menzahirkan ucapan takziah ke atas pemergian ‘Adik Aming’ yang dilapor telah kembali ke Rahmatullah awal pagi tadi.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, Ismail turut mengimbau kembali mengenai satu hantaran di media sosial tentang pesanan khidmat nasihat oleh arwah pada Januari awal tahun ini.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’iun. Al-Fatihah. Mendapat perkhabaran sedih tentang pemergian Allahyarham adik Muhammad Aming Salleh Abdullah yang dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas kira-kira jam 1.30 pagi tadi.
“Saya pernah membuat hantaran di media sosial berkenaan pesanan yang baik-baik yang disampaikan oleh Allahyarham Adik Aming pada 23 Januari 2021. Ternyata Allahyarham adik Aming merupakan seorang anak yang sangat baik dan bijaksana.
“Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah untuk Allahyargam adik Aming yang kita sayangi. Takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham adik Aming. Semoga tabah menghadapi ujian ini,” katanya dalam kenyataan tersebut hari ini.
Arwah Adik Aming pernah mencuri perhatian warganet satu ketika dahulu apabila beliau menyampaikan pesanan beserta nasihat tentang kepentingan memakai pelitup muka semasa pandemik COVID-19.
Sumber: FB Datuk Seri Ismail Sabri