PM Singapura Arah Menteri Didakwa Terlibat Rasuah Bercuti, Hingga Siasatan Selesai
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengarahkan seorang menteri dalam kabinetnya untuk bercuti selepas menteri berkenaan didakwa terlibat dalam aktiviti rasuah.
Menurut laporan CNBC, menteri berkenaan adalah antara individu-individu yang sedang disiasat oleh Biro Penyiasatan Amalan Rasuah negara republik tersebut.
Arahan bercuti dimaklumkan oleh Lee menerusi satu kenyataan yang dibuat pada Rabu.
“Saya telah mengarahkan menteri berkenaan untuk bercuti sehingga siasatan selesai dilakukan,” katanya. Bagaimanapun, beliau tidak mengulas secara terperinci berkenaan kes yang terpalit dengan menteri tersebut.
Difahamkan, menteri berkenaan antaranya terlibat dalam menguruskan segala aktiviti hubungan perdagangan melibatkan Singapura.
Beliau turut memaklumkan tugas-tugas di kementerian yang menjadi tanggungjawab menteri itu kini dipangku oleh Menteri Kanan, Chee Hong Tat.
PM Singapura arah menteri didakwa terlibat rasuah bercuti
Difahamkan, pengumuman tersebut dikeluarkan beberapa minggu selepas kerajaan meneliti dakwaan yang turut dibuat terhadap dua lagi menteri kabinet berhubung penyewaan banglo milik kerajaan.
Dua lagi menteri yang didakwa terlibat dalam aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa itu adalah Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri, K. Shanmugam. Seorang lagi adalah Menteri Hal Ehwal Luar Negara, Vivian Balakrishnan.
Bagaimanapun, siasatan dalaman yang dibuat mendapati tuduhan yang dibuat itu tidak mempunyai asas dan kedua-dua menteri berkenaan tidak diarahkan bercuti.
Manakala menteri yang diarahkan bercuti itu pula terlibat dalam arena politik sejak 1997. Beliau merupakan graduan Universiti Harvard.
Antara portfolio yang pernah dipegangnya adalah di Kementerian Pendidikan, Hal Ehwal Keluarga, Perdagangan dan Industri serta Komunikasi dan Informasi.
Sebelum ini, beliau merupakan Timbalan Presiden Kanan dan Pengarah Pengurusan di pusat pelaburan negara, Temasek Holdings.
Untuk makluman, Singapura merupakan negara yang memberikan gaji paling tinggi kepada menteri-menteri, jika dibandingkan dengan negara lain.
Bukan itu sahaja, negara tersebut memiliki reputasi yang agak bersih apabila menduduki tangga kelima dalam Indeks Persepsi Korupsi terkini yang dikeluarkan pihak Transparency International.
BACA: Buat Macam Ni, Cara ‘Tepat’ Cuci Senduk Kayu, Semua Kotoran Minyak Berlemak Keluar
Sumber: CNBC