Kerajaan Kemboja dilaporkan tidak akan membenarkan rakyatnya menjadi ‘tikus makmal’ bagi sebarang vaksin yang sedang dibangunkan, lapor Khmer Times.
Pendirian itu dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri, Hun Sen, dalam satu siaran khas di televisyen semalam.
Beliau menegaskan bahawa walaupun ada negara yang akan memberikan vaksin secara percuma kepada mereka namun tidak diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ia tidak akan diterima demi menjaga kesihatan rakyat.
“Sekiranya kami menggunakan vaksin yang tidak diluluskan untuk menyuntik orang ramai, ia boleh menyebabkan kematian atau menjejaskan kesihatan,” katanya.
Tambahnya lagi, mereka juga sanggup menunggu sehingga vaksin tersebut diluluskan.
Menurutnya lagi, beliau hanya mengikuti saranan Kementerian Kesihatan agar tidak menggunakan vaksin yang masih belum diluluskan oleh WHO.
“Saya tidak akan membenarkan rakyat Kemboja digunakan sebagai percubaan untuk vaksin yang dilakukan oleh mana-mana negara atau syarikat kecuali ia diluluskan oleh WHO.
“Kemboja hanya akan membeli dos vaksin dari negara yang telah diluluskan oleh WHO,” tegasnya.
Hun Sen juga mengatakan bahawa beberapa negara termasuk Rusia, China, Amerika Syarikat, Britain dan Jerman telah menghasilkan dan melancarkan vaksin COVID-19 namun ia tidak diluluskan oleh WHO.
Beliau juga menambah bahawa kerajaan telah menerima sekitar $ 48 juta dan sekitar $ 975,000 riel dalam bentuk sumbangan untuk pembelian vaksin COVID-19 dari lebih 38, 411 dermawan.
Sumber: Khmer Times