
PM Anwar Muat Naik Video “Saya Ulang, Hari Ini Kita Menang, Saya Umum”
Menjelang pengumuman istimewa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memuat naik satu video pendek di laman Facebook miliknya, seakan memberi bayangan untuk orang ramai bersabar menunggu hari esok.
Lebih menarik, video tersebut merupakan potongan dari ucapan lamanya yang pernah tular.
“Saya ulang, hari ini dalam pilihan raya kita menang, saya umum…,” petik potongan video itu.
Ia juga memaparkan babak di dalam filem Tan Sri P. Ramlee, yang menyanyikan lagu Tunggu Sekejap.
Perkongsian itu membuatkan warganet semakin tidak sabar untuk menantikan pengumuman esok.
BACA JUGA: Ramai Tak Sabar, Netizen Teka Ini Yang Bakal Diumum PM Esok
Malah, ada juga di antara mereka yang meneka mengenai perkara yang akan diumumkan.
Terdahulu, Anwar dalam satu hantaran di media sosial berkata pengumuman itu merupakan tanda keprihatinan Kerajaan MADANI kepada rakyat yang sentiasa teguh bersama kerajaan dalam setiap langkah reformasi.
“Moga pengumuman ini membawa manfaat buat rakyat terbanyak dan menjadi cerminan usaha kita bersama untuk membina masa depan yang lebih adil dan sejahtera,” katanya.
Anwar dijadualkan memuat pengumuman terbabit pada jam 10.30 pagi esok dan akan disiarkan secara langsung menerusi semua saluran media utama.
Ia termasuk di RTM, Media Prima, Astro Awani, Bernama TV, TVS, TV AlHijrah serta platform media sosial seperti Facebook Live.
Sejak minggu lalu, rakyat Malaysia tertunggu-tunggu mengenai pengumuman istimewa terbabit.
Ramai yang membuat telahan mengenai perkara yang akan diumumkan esok. Ada di antara mereka yang meneka Anwar bakal mengumumkan mengenai bonus atau gaji, KWSP dan STR.
Tidak kurang juga ada yang berharap agar ia mengenai waktu bekerja selama empat hari seminggu.
Sumber: Facebook Anwar Ibrahim