
PM Anwar Duduki Tangga Ke-10 Tokoh Muslim Paling Berpengaruh Dunia
KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tersenarai di tempat ke-10 dalam The World’s 500 Most Influential Muslims edisi 2026, lapor Astro Awani.
Senarai tersebut dikeluarkan oleh Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC), Institut Pemikiran Islam Diraja Aal Al-Bayt berpusat di Amman, Jordan.
Terdahulu, beliau turut tersenarai di kedudukan ke-15 pada tahun 2025 dan ke-17 tahun 2024. Anwar juga pernah menerima sebutan kehormat pada tahun 2023.
Menerusi laporan berkenaan, Anwar turut menerima sebutan kehormat dalam kategori Pemimpin dan Ahli Politik Muslim di tangga ketujuh bagi 2026.
Sebelum ini, Anwar berada di tangga ke-22 dalam kategori yang sama pada tahun 2022.
Laporan edisi kali ini menelusuri kisah perjalanan politik beliau bermula dari sebagai mahasiswa di Universiti Malaya sehingga beliau menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.
Anwar disifatkan sebagai tokoh politik yang menempuh pelbagai cabaran, tidak terkecuali dipenjarakan, digugurkan jawatan dan melalui perjuangan yang begitu panjang sebagai pemimpin barisan pembangkang sebelum kembali berada di dalam barisan pentadbir negara.
Dalam pada itu, penulisan tersebut juga mengetengahkan peranan Anwar baru-baru ini ketika insiden pertempuran di sempadan Thailand dan Kemboja. Kejayaan dalam meredakan ketegangan antara dua negara berkenaan dikatakan berjaya mengukuhkan imej Malaysia sebagai pendamai serantau.
“Anwar membantu membina kepercayaan antara Bangkok dan Phnom Penh, sekali gus mengukuhkan imej Malaysia sebagai perantara keamanan yang konstruktif di Asia Tenggara,” petik laporan berkenaan.
Memetik isu di Gaza, Anwar digambarkan sebagai pemimpin yang lantang dalam perjuangan hak Palestin selain mengecam tindakan Israel.
Sementara itu, Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani tersenarai sebagai tokoh pertama bagi tahun 2026 manakala Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di kedudukan ke-15.
Sumber: Astro Awani