PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam satu kenyataan sebentar tadi memaklumkan seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19.
”Kakitangan tersebut, seorang Pembantu Khidmat Pelanggan, pada ketika ini sedang dirawat di sebuah pusat perubatan kerajaan.
”PLUS juga telah mengarahkan semua kakitangannya yang mempunyai hubungan rapat dengan kakitangan terbabit supaya mengadakan pemeriksaan dan saringan kesihatan serta dikuarantin.
”Pada masa yang sama, PLUS memberi jaminan bahawa kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan diadakan di plaza tol yang terbabit.
”Sehubungan dengan itu, Plaza Tol Ebor (Plaza Masuk) menghala ke Lebuhraya ELITE akan ditutup sementara mulai jam 12:01 pagi hingga 11:59 malam pada 19 Mac (Khamis) untuk kerja-kerja sanitasi dan pembersihan,” kata kenyataan tersebut.
PLUS menasihatkan pengguna dari Batu Tiga, Shah Alam dan kawasan sekitar yang menghala ke Putrajaya, KLIA dan Selatan supaya memasuki lebuhraya ELITE menerusi Plaza Tol Shah Alam ataupun Seafield sepanjang tempoh penutupan.
Sumber: PLUS