
PLUS Aktifkan Lencongan Di Persimpangan Bukit Gambir-Tangkak Mulai 5 Ogos Ini
KUALA LUMPUR — PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan akan mengaktifkan lencongan jalan secara berperingkat di KM166.79 hingga KM168.26 di kedua-dua arah laluan antara Persimpangan Bukit Gambir-Tangkak di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) mulai 5 Ogos hingga 30 Disember 2025.
Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi PLUS Malaysia, lencongan itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan jambatan oleh kontraktor Jabatan Kerja Raya.
“Sehubungan itu, para pengguna lebuh raya dinasihatkan agar merancang perjalanan serta mematuhi semua papan tanda trafik dan arahan yang diberikan oleh petugas PLUS semasa melalui kawasan kerja.
“Untuk mendapatkan maklumat trafik terkini, pengguna digalakkan untuk merujuk aplikasi PLUS. Bagi sebarang bantuan kecemasan, sila hubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000. Kerjasama dan keprihatinan anda amat dihargai,” maklum PLUS Malaysia dalam kenyataan itu.
Sebelum ini, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) memaklumkan lorong utama di Lebuhraya KL-Karak dilencongkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menurut LPT dalam satu kenyataan, lencongan itu melibatkan laluan di KM 25.75 – KM 26.39 arah Kuantan (Gombak – Genting Sempah) bermula 8 Julai sehingga 31 Ogos 2025.
“Sepanjang tempoh ini, laluan trafik akan dilencongkan di lokasi terlibat. Pengguna masih boleh meneruskan perjalanan melalui laluan alternatif yang disediakan.
“Mohon semua pengguna jalan raya patuhi arahan papan tanda dan ikut laluan yang ditetapkan,” maklum kenyataan itu.
Sumber: PLUS Malaysia