Gambar: Bernama

PKPD Di Pusat Koreksional Jasin Mulai Esok Hingga 4 Januari – Ismail Sabri

syafiq halim

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) — Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Pusat Koreksional Jasin dan kuarters kakitangan pusat itu, bermula esok (22 Dis 2020) sehingga 4 Jan depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD ini akan melibatkan 771 orang, yang terdiri daripada 603 tahanan dan 168 kakitangan serta ahli keluarga.

“SOP (prosedur operasi standard) PKPD di pusat tahanan ini sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk tiada pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata sehingga 19 Dis, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 1,251 ujian saringan termasuk saringan kedua serta ketiga dan daripada hasil ujian itu 133 kes didapati positif.

KKM, katanya, turut mengesahkan berlaku peningkatan secara mendadak jangkitan COVID-19 dalam masa yang singkat dalam kalangan tahanan di pusat itu.

–BERNAMA