KOTA BHARU, 23 Nov – Hampir 30 pengusaha kedai makan di sepanjang persisiran Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini, mengambil keputusan menutup sementara perniagaan mereka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan dari 21 Nov hingga 6 Dis ini.
Kebanyakan peniaga meluahkan bahawa mereka terpaksa ‘berehat’ untuk mengelak menanggung kerugian berikutan kehadiran pengunjung semakin berkurangan, selain membantu membendung penularan COVID-19.
Ketika ditemui Bernama hari ini, pengusaha kedai makan Adam Daud, 45, berkata daripada hampir 30 peniaga yang mengusahakan kedai makan hanya lima kedai yang masih beroperasi ketika ini.
Adam berkata situasi itu merupakan kali pertama dihadapinya serta peniaga lain yang kini semakin tersepit apabila pengunjung berkurangan menyebabkan jualan merosot teruk.
“Rata-rata peniaga di sini mengambil keputusan untuk menutup perniagaan mereka sejak pelaksanaan PKPB di negeri ini bagi mengelak menanggung risiko tanpa kemasukan hasil jualan harian.
“Pelanggan tiada, tapi kami (peniaga) perlu membayar gaji pekerja seperti biasa jika masih meneruskan perniagaan…untuk elak tanggung risiko kerugian lebih banyak, kebanyakan peniaga mengambil keputusan untuk menutup perniagaan mereka,” kata Adam yang telah mengusahakan perniagaannya sejak enam tahun lepas.
Tinjauan Bernama mendapati suasana di pantai berkenaan suram dan hambar berikutan ketiadaan pengunjung berbanding sebelum PKPB dilaksanakan semula di Kelantan.
Adam berkata jika sebelum ini, kedatangan pelanggan ke kedainya mampu mencecah lebih 150 orang sehari namun ketika ini untuk mendapat sekitar 10 pelanggan amat sukar.
“Saya juga merancang untuk menutup perniagaan buat sementara waktu sehingga PKPB ini tamat kerana jualan tidak memberi pulangan yang berpatutan iaitu sekitar RM60 sehari berbanding hari biasa yang mampu mencecah RM500 sehari.
“Malah, lagi memeritkan saya terpaksa mengeluarkan modal sendiri untuk membayar gaji pekerja sebanyak RM40 seorang setiap hari. Sebelum ini, saya mempunyai seramai 12 pekerja namun pada Sabtu lepas saya terpaksa mengurangkan hampir separuh daripada mereka,” luahnya.
Senasib dengannya, seorang lagi peniaga Khatijah Ismail, 58, memilih menutup perniagaan sejak semalam kerana berlaku lebihan makanan di kedainya memandangkan ketiadaan pengunjung.
“Dari segi persediaan makanan kita sudah sedia dan beli untuk berniaga tapi pelanggan tiada, maka untuk elak membazir saya beri makanan yang tidak terjual kepada jiran-jiran terdekat,” katanya.
— BERNAMA