Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan banyak mengubah kehidupan kita. Kalau dahulu anak dihantar ke sekolah ketika waktu bekerja, kini semua sekolah dan tadika diarahkan tutup. Tindakan ini merupakan salah satu cara penjarakan sosial bagi mengelakkan virus COVID-19 terus menular.
Persoalannya, adakah pengasuh ataupun pihak tadika boleh mengambil bayaran penuh sedangkan anak-anak tidak dihantar ke sana? Berikut merupakan jawapan Mufti Perak.
Berbincang mengikut persetujuan awal
Kedua-dua pihak adalah dinasihatkan untuk berbincang khususnya berdasarkan kepada terma dan syarat perjanjian atau sebarang peraturan yang telah dipersetujui lebih awal jika ada, dengan syarat terma dan syarat serta peraturan tersebut tidak melanggar Syarak.
Dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disebabkan oleh penularan wabak COVID-19, pengusaha sekolah / taska @ tadika / pusat tuisyen atau pengasuh tidak boleh mengenakan sebarang bayaran / yuran / upah kerana tiada perkhidmatan yang boleh diberikan lantaran pergerakan adalah dihadkan.
Jika bayaran telah dibuat lebih awal, maka bayaran lebihan tersebut adalah hak milik pembayar dan ia adalah amanah di tangan pengusaha / pengasuh dan boleh dituntut pada bila-bila masa.
Yuran / upah tersebut boleh disimpan atas dasar amanah oleh pihak sekolah / taska / pengusaha / pengasuh dengan izin pembayar sehingga keadaan kembali normal. Jika wang itu telah digunakan maka pihak sekolah / taska / pengusaha / pengasuh hendaklah menggantikannya.
Kontrak terlerai
Apa yang penting, bayaran yuran atau upah hanya boleh diambil setakat perkhidmatan yang diberikan sahaja iaitu setakat sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disebabkan oleh penularan wabak COVID-19 bermula.
Keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disebabkan oleh penularan wabak COVID-19 dikira sebagai salah satu keadaan faktor mendatang atau hal mendatang yang tidak terduga “‘awaridh tari’ah” atau “zuruf tari’ah” yang memberikan kesan kepada kontrak yang telah dimeterai.
Ini kerana ia adalah di luar kawalan pihak-pihak berkontrak (berakad) yang menyebabkan mereka tidak dapat melaksanakan iltizam dan tanggungjwab masing-masing. Oleh itu, kontrak (akad) adalah terfasakh atau terlerai.
Saranan Mufti
Dalam pada itu, Jabatan Mufti Negeri Perak turut menitipkan beberapa saranan buat orang ramai.
Jabatan Mufti Negeri Perak ingin menasihatkan masyarakat termasuk pada warga maya yang meneliti persoalan ini terhadap beberapa perkara berikut;
Pengasuh/pengusaha tadika/taska/pusat tuisyen/sekolah/institusi perlu mengambil langkah menang-menang dengan pihak ibu bapa atau penjaga disebabkan faktor mendatang yang tidak diduga. Perbincangan adalah antara kaedah terbaik dalam menentukan keadilan kepada pihak-pihak yang terlibat.
Pihak ibu bapa atau penjaga perlu mengelakkan sifat terlalu berkira terhadap pihak pengasuh/pengusaha tadika/taska/sekolah/institusi. Sifat bertolak ansur perlu dengan mengambil kira jasa dan pengorbanan mereka terhadap anak-anak.
Pengusaha tadika/taska/sekolah/institusi perlu membuat persediaan kewangan dengan mewujudkan dana rizab dan simpanan untuk menjamin kelangsungan perniagaan dan perhidmatan di waktu dan keadaan yang tidak diduga.



Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak