WARGA EMAS HILANG LIF
Kredit: India Today

Pilu, Warga Emas Dilapor Hilang Lebih Seminggu Ditemui Maut Di Bawah Lif

Sofea

Pilu, Warga Emas Dilapor Hilang Lebih Seminggu Ditemui Maut Di Bawah Lif

Salah satu fobia atau ketakutan yang dirasai oleh sesetengah orang di dunia ini adalah terperangkap atau mengalami insiden di dalam lif. Manakan tidak, banyak kejadian-kejadian yang ngeri dan meragut nyawa telah berlaku.

Bayangkan pula jika terperosok jatuh ke bawah lif seorang diri tanpa disedari oleh orang lain.

Itu yang berlaku di India beberapa minggu lalu, yang membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 77 tahun.

Lebih memilukan, Pritam Giri Goswami telah dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya yang terletak di Chinar Dream City, Misrod pada 7 Januari. Lelaki itu dikatakan turun ke bawah apartmen untuk 'mengambil angin', namun selepas itu dia tidak pulang ke rumahnya.

Keluarganya yang mula bimbang melakukan pencarian berulang kali namun usaha mereka tidak membuahkan hasil.

Bau busuk menyengat

Namun, teka-teki mengenai kehilangan itu akhirnya terbongkar selepas penduduk melaporkan bau busuk yang sangat kuat datang dari salah satu lif apartmen tersebut.

Selama lebih seminggu pihak polis dan saudara-mara mencari warga emas itu, tanpa menyedari bahawa mayat mangsa sebenarnya terperangkap di dalam bangunan itu sendiri.

Suasana pilu menjengah sebaik sahaja juruteknik memasuki aci lif dan menemui mayat Pritam di bahagian bawah ruang tersebut.

Mayat dalam tahap pereputan

Pihak polis memaklumkan mayat itu mengalami kecederaan parah, remuk akibat pergerakan lif serta berada dalam tahap pereputan. Keadaan mayat itu menunjukkan mangsa dipercayai berada di situ selama kira-kira 10 hingga 11 hari tanpa disedari orang ramai.

Susulan kejadian ini, keluarga mangsa mendakwa ia berlaku kerana kecuaian pihak pengurusan. Mereka berkata lif tersebut telah lama tidak berfungsi dan aduan yang dibuat berulang kali tidak diendahkan.

Penduduk yang lain juga berkata pengurusan mengutip sekitar Rs 1,500 (RM65) sebulan sebagai caj penyelenggaraan, namun gagal memastikan keselamatan asas dan servis lif yang kerap.

Mereka mendakwa pembaikan dan pemeriksaan keselamatan yang tepat pada masanya dapat mencegah tragedi itu.

“Ini bukan kemalangan, ini adalah kecuaian,” kata anak lelaki mangsa yang menuntut tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.