Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dilaporkan meninggal dunia dalam dakapan ibunya semasa mencari wang sebagai pengemis di kawasan Pasar Bantar Gebang, Kota Bekasi, Indonesia.
Jurucakap polis Bekasi, Komisioner Erna Ruswing Andari menyatakan bahawa kanak-kanak tersebut meninggal dunia ketika sedang menemani ibunya mengemis di Pasar Bantar Gebang.
“Ketika kanak-kanak tersebut digendong oleh ibunya yang sedang mengemis di Pasar Bantar Gebang, kanak-kanak itu secara tiba-tiba telah terdiam dan seterusnya disyaki telah meninggal dunia,” ujar Erna kepada wartawan.
Mengetahui kejadian itu, pihak polis segera membawa kanak-kanak tersebut ke Hospital Bantar Gebang. “Setelah diperiksa oleh doktor, mangsa telah disahkan meninggal dunia. Tiada tanda-tanda penderaan yang terdapat pada badan mangsa,” kata Erna.
Menurut kenyataan daripada ibu bapanya, mangsa pada sebelum itu memang sedang sakit. Namun, tidak ada sesiapa yang boleh menjaganya, justeru ibu kanak-kanak tersebut terpaksa membawa anaknya itu sekali untuk mengemis bersamanya.
“Kerana keadaan ekonomi yang tak mengizinkan, ditambah dengan keadaan kesihatan yang tidak baik, ibunya terpaksa membawanya sekali untuk mengemis,” terang Erna.
Sumber: Sindonews.com