Anak Nikah Ditemani Allahyarhamah Ibu
Kredit: TikTok @miloaisikattepi00_

Pilu, Anak Nikah Ditemani Allahyarhamah Ibu

Iqbal Yasir

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Pilu, Anak Nikah Ditemani Allahyarhamah Ibu

Majlis pernikahan merupakan salah satu momen paling bermakna dan bersejarah dalam kehidupan setiap pasangan yang melangkah ke alam rumah tangga.

Ia bukan sekadar penyatuan dua insan yang saling mencintai, malah mengikat dua keluarga dalam ikatan suci yang sarat dengan nilai kasih sayang, tanggungjawab dan kebersamaan.

Detik lafaz ijab kabul yang diucapkan dalam majlis ini akan sentiasa terpahat dalam ingatan sepanjang hayat, menandakan bermulanya fasa baharu dalam kehidupan sebagai suami dan isteri.

Lebih-lebih lagi apabila ia dilangsungkan pada tarikh yang cukup bermakna buat kedua-dua mempelai, misalnya pada hari lahir.

Namun berbeza pula kisah meruntun jiwa seorang wanita @miloaisikattepi00_ di TikTok apabila hari bahagia yang dirancang bersulamkan suasana duka ketika majlis akad nikah disaksikan jenazah ibunya yang telah kembali ke rahmatullah beberapa jam sebelum.

Lebih meruntun hati, tarikh berkenaan merupakan hari kelahirannya.

"8 Februari 2026 adalah tarikh yang saya akan ingat sampai bila-bila.

"8 Februari mak saya lahirkan saya, 8 Februari mak saya tinggalkan saya.

"Dan 8 Februari juga sepatutnya mak saya tengok saya nikah," luahnya.

Dalam klip berkenaan, riak wajah pasangan pengantin kelihatan tabah dan reda, sambil meneruskan majlis, bersaksikan jenazah ibu di dalam ruang masjid yang sama.

Luah pengantin wanita, dia memohon orang ramai untuk mendoakan agar roh ibunya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

"Doakan mak saya ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman," tulisnya.

Menurut kakaknya, ibu mereka menghembuskan nafas terakhir pada jam 3 pagi akibat kanser, sebelum majlis akad (hari yang sama).

"Saya kakak pengantin dan anak kepada arwah. Mak pergi dulu 3 pagi sebab mak sakit kanser. Nikah 9 pagi. Waktu hari yang sama. Masih adik nak nikah mak tau semua tu. Tapi semua dah tertulis. Mak pergi dulu," maklum kakak Allahyarhamah.

Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya tidak dapat menahan sebak, malah tidak dapat membayangkan betapa beratnya ujian yang dilalui.

Berikut antara komen netizen;

"Ya Allah, semoga kalian sekeluarga kuat ya," titip seorang pengguna.

"Taktau nak komen macam mana.. tapi terus kuat, jangan putus doa.. takdak 1 orang pun yang mampu hadapi kehilangan ... apatah lagi hilang sosok seorang IBU... semoga arwah ditempatkan di kalangan org yang beriman.. amin," komen seorang pengguna lagi.