KANGAR, 26 Ogos (Bernama) — Kerajaan Perlis sedang mencari pihak swasta yang berminat dan mempunyai kepakaran bagi menguruskan pusat pelancongan yang bermasalah di negeri ini.
Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata kerajaan negeri tidak mempunyai kepakaran yang secukupnya bagi menguruskan pusat pelancongan dan ia perlu diserahkan kepada pihak swasta.
“Isu lima pusat pelancongan di Perlis tidak diurus dengan baik seperti Laporan Ketua Audit Negara semalam sebenarnya perkara yang telah lama berlaku.
“Ia bermasalah sejak pentadbiran dua menteri besar sebelum ini, isunya adalah kerana pusat pelancongan itu terletak di kawasan hutan simpan kekal dan perlu mengikuti undang-undang berkaitan dengan hutan simpan kekal,” katanya kepada pemberita di luar dewan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Laporan Ketua Audit Negara 2019 semalam mendapati bahawa lima pusat pelancongan di Perlis tidak diurus dengan baik oleh tiga jabatan iaitu Jabatan Pertanian Negeri Perlis (JPNP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perlis (JPV) dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis (JPH) yang menguruskan Taman Anggur Perlis, Pusat Ekuin Perlis, Rimba Herba Perlis, Chalet Bukit Ayer Fasa I hingga III serta Pusat Rawatan Alternatif dan Spa.
Beliau berkata selain itu perkara tersebut mungkin berlaku disebabkan oleh beberapa kelemahan yang terdapat pada perancangan sebelum ini seperti dari segi hala tuju pengurusan dan akhirnya tempat tersebut tidak dapat diuruskan dengan baik.
“Saya berpendapat bahawa tempat seperti ini tidak boleh diuruskan oleh kerajaan dan perlu diuruskan oleh pihak swasta kerana mereka mempunyai kepakaran dalam bidang itu,” katanya.
Beliau berkata sebelum ini terdapat dua syarikat swasta yang berminat untuk menguruskan tempat tersebut dan terpaksa menarik balik kerana kerajaan negeri tidak mempuyai kuasa untuk memberi tempoh sewaan melibatkan jangka masa yang panjang.
Sumber: BERNAMA