Sehari sebelum aksi pertama Harimau Malaya menentang Kemboja di saingan Piala AFF Suzuki 2020, skuad bola sepak Malaysia dikejutkan dengan berita dua pemain yang didapati positif COVID-19 selepas keputusan ujian PCR yang dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Jumaat lalu diperolehi.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kedua pemain yang didapati positif adalah Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim. Kedua-duanya kini diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri sehingga ke 10 hari oleh pihak berkuasa di Singapura ini yang mana tahap kesihatan mereka akan dipantau secara harian memandangkan mereka tidak bergejala.
“Jika ujian selanjutnya itu mendapati pemain tersebut telah bertukar status kepada negatif COVID-19, maka mereka akan dibenarkan untuk kembali menyertai aktiviti bersama pasukan dengan serta-merta dan juga dapat beraksi pada baki kejohanan ini.
“Biarpun tanpa dua pemain ini, skuad kendalian Tan Cheng Hoe tetap akan meneruskan perlawanan pertama Kumpulan B berdepan Kemboja di Stadium Bishan, petang esok dengan baki pemain lain yang ada selepas kesemua mereka diuji negatif pada ujian susulan yang telah pun dilakukan,” kata Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar dalam kenyataan di laman Facebook FAM sebentar tadi.
Memetik laporan Bernama, Timbalan Presiden FAM, Mohd Yusoff turut mengesahkan bahawa, pihak penganjur membenarkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe meneruskan latihan dan cabaran di Piala AFF Suzuki 2020.
“Kita masih sedang membincangkan mengenai keputusan memanggil pemain lain menggantikan dua pemain ini, kerana terdapat satu posisi yang agak kritikal. Cheng Hoe dijangka membuat keputusan pada malam ini,” katanya kepada Bernama.
Cheng Hoe yang menyenaraikan 24 pemain ke Singapura, kini hanya mempunyai 21 pemain yang mampu beraksi esok, di mana pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium Dion Cools yang sedang beraksi bersama FC Midtjylland di Denmark, dijangka hanya menyertai skuad kebangsaan sebelum aksi terakhir kumpulan bertemu Indonesia pada 19 Disember ini.
Pertembungan antara Kemboja dan Malaysia selaku naib juara edisi 2018 akan berlangsung di Stadium Bishan 5.30 petang, pada aksi pertama Kumpulan B esok.
Skuad Harimau Malaya kemudian dijadualkan bertemu Laos pada 9 Disember sebelum berdepan cabaran Vietnam (12 Disember) dan Indonesia pada aksi terakhir.
Sumber: Facebook FAM, Bernama