Destinasi pelancongan terkenal, Pulau Phuket, Thailand kini kembali untuk menyambut kedatangan pelancong antarabangsa bermula dari 1 Julai ini.
Pelancong boleh terbang terus ke pulau itu tanpa perlu menjalani kuarantin, sebahagian daripada usaha ”Phuket Sandbox”, program perintis untuk merancakkan semula kedatangan pelancong.
Walau bagaimanapun, pelonggaran sekatan pada mulanya hanya akan terpakai untuk pelancong yang divaksinasi sepenuhnya (dan kanak-kanak di bawah usia enam tahun) dari negara berisiko rendah.
Difahamkan, kelonggaran peraturan kuarantin pada bulan depan itu bergantung pada kejayaan pelaksanaan vaksin di Phuket.
Tujuannya adalah untuk memastikan 70 peratus populasi pulau itu telah menerima kedua-dua suntikan Covid-19 sebelum pembukaan semula pulau.
Setakat ini, kira-kira 50 peratus penduduk di Phuket telah diberi vaksin, menurut laporan media tempatan.
Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) mengatakan pihaknya berharap dapat menyambut kedatangan sekitar 129 ribu pelancong asing antara bulan Julai dan September.
Sekiranya program perintis Phuket ini berjaya, lapan destinasi pelancongan lain di Thailand akan dibuka semula kepada pengunjung antarabangsa dengan cara yang serupa dalam beberapa bulan akan datang iaitu Krabi, Phang-nga, Koh Samui, Pattaya, Bangkok, Buriram, Cha-am dan Hua Hin.
“Akan ada ‘standard praktik’ untuk setiap tempat ini, tetapi akan ada beberapa variasi bergantung pada geografi mereka.
“Yang terpenting, kita harus mengutamakan keselamatan dan kesihatan orang ramai untuk mencegah wabak,” kata gabenor TAT Yuthasak Supasorn kepada CNN katanya.
Pada masa ini, kebanyakan pelancong ke Thailand termasuk semua warganegara Britain yang melakukan perjalanan dari UK, diminta untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di tempat kuarantin yang disediakan.
Thailand mengalami nasib yang jauh lebih baik daripada kebanyakan negara yang bergelut dengan pandemik Covid-19, tetapi timbul kebimbangan mengenai gelombang ketiga apabila negara itu melaporkan 2,230 kes baharu Covid-19 dan 38 kematian baru pada 1 Jun.
Sumber: Independent UK