KOTA BHARU, 29 Jan (Bernama) — Batalion Ke-9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas sebanyak 45 tan beras Siam seludup termasuk beras pulut dan sebuah lori bernilai hampir RM300,000 dalam serbuan di sebuah stor dekat Kampung Bendang Buyong, Jedok, Tanah Merah, semalam.
Pegawai Pemerintah PGA9 Supt Nor Azizan Yusof berkata dalam serbuan itu juga pihaknya menahan dua lelaki berumur 41 dan 24 tahun dipercayai pemilik stor berkenaan.
Beliau berkata serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan penyimpanan beras seludup yang dijalankan di stor itu.
“Awal pagi semalam, sepasukan anggota risik PGA9 telah melakukan serbuan pada 4 pagi selepas pemantauan dan intipan selama dua hari dijalankan di stor yang terletak berdekatan pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand itu.
“Ketika intipan dilakukan terdapat dua lelaki hadir ke situ dan mengaku sebagai pemilik dan penjaga stor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, selepas anggota PGA9 memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, kedua-dua lelaki itu diarahkan supaya membuka stor untuk pemeriksaan dan turut menemukan sebuah lori jenis Isuzu dan 22 tan beras Siam (bernilai RM88,000) serta 23 tan beras pulut (bernilai RM161,000) yang disyaki diseludup masuk dari negara jiran.
“Hasil pemeriksaan juga pihak kami menjumpai cap-cap Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara (BKSPBN) yang dipercayai dipalsukan. Pemilik stor juga didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen mengenai kemasukan beras ke dalam stor itu.
“Kami percaya kesemua beras dan beras pulut itu adalah untuk pasaran tempatan dan luar Kelantan, bergantung atas permintaan,” tambahnya sambil memaklumkan kesemua barangan rampasan diserahkan kepada BKSPBN untuk siasatan mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.
— BERNAMA