KOTA BHARU, 28 April (Bernama) — Pasukan Gerakan Am Batalion 7 (PGA7) merampas lapan ekor lembu yang disyaki diseludup masuk dari Thailand, untuk dihantar kepada peraih di Kampung Tok Rusa, Pasir Mas, pagi tadi.
Pegawai Pemerintah Medan PGA7 Supt Azhari Nusi berkata rampasan dilakukan sepasukan anggota Strike Force yang membuat rondaan berhampiran lokasi kejadian pada 6.45 pagi.
Beliau berkata ketika rondaan, anggota telah terserempak dengan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahan kenderaan itu.
“Pemeriksaan mendapati terdapat lapan ekor lembu yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000 di bahagian belakang lori.
”Ketika disoal, pemandu lori gagal mengemukakan dokumen perjalanan bagi pemindahan lembu-lembu berkenaan dan pihak kami merampas serta menahan pemandu terbabit untuk dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azhari berkata siasatan awal mendapati lembu-lembu berkenaan telah diseludup melalui jalan tidak diwartakan malah pemandu lori yang merupakan lelaki tempatan berusia 35 tahun itu mengaku menarik sendiri lembu dari tebing Sungai Golok sebelum dinaikkan ke atas lori untuk dihantar kepada peraih.
“Keseluruhan nilai rampasan termasuk lori adalah RM76,660 iaitu nilaian lembu sebanyak RM51,660 dan lori RM25,000,” katanya.
Beliau berkata kes akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Azhari berkata PGA7 turut merampas 4,200 kilogram tepung beras bernilai RM10,500 serta menahan seorang lelaki berusia 52 tahun dan sebuah lori dalam kejadian di Kampung Pak Keral, Tumpat, pada 7.20 pagi tadi.
”Siasatan awal mendapati kesemua tepung beras itu dibawa dari Thailand melalui laluan tikus. Kesemua rampasan iaitu tepung dan lori yang keseluruhan bernilai RM35,500 akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya.
— BERNAMA