pfa dipecat
Gambar: FAM

PFA Dipecat Sebagai Ahli Gabungan FAM

Hannah

PFA Dipecat Sebagai Ahli Gabungan FAM

Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sah dipecat sebagai ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas Jawatankuasa Eksekutif FAM mengesahkan keputusan yang dibuat dalam Kongres FAM, hari ini.

Pemecatan itu berkuat kuasa serta-merta selepas PFA gagal melunaskan bayaran kepada bekas Pengarah Bola Sepak PFA, Matthew Mark Holland dalam tempoh yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Untuk info, Kongres FAM ke-61 pada 15 Februari 2025 telah sebulat suara meluluskan dua ketetapan penting.

Pertama, penggantungan keahlian PFA di bawah Artikel 17 Statut FAM sehingga persatuan itu menjelaskan bayaran penuh seperti diputuskan FIFA pada 11 November 2024.

Kedua, pemecatan keahlian di bawah Artikel 18 sekiranya PFA gagal membuat bayaran penuh dalam tempoh enam bulan selepas penggantungan.

FAM laksana penstrukturan semula

Dalam perkembangan lain, FAM turut mengumumkan penstrukturan semula beberapa jawatan pengerusi dalam Jawatankuasa Tetap badan induk itu.

“Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi kini menggalas tugas dalam tiga portfolio baharu iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Darurat.

“Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram pula dilantik sebagai Pengerusi Amateur Football League (AFL) bagi menggantikan tempat Datuk Mohd Yusoff selain beliau kini menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur.

“Naib Presiden FAM, Datuk Seri Haji Rosmadi Ismail dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, manakala seorang lagi Naib Presiden, Datuk Saaran Nadarajah kini menggalas tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengadil.

“Naib Presiden FAM, Dato’ Dollah Salleh dan Exco FAM, Dato’ Zainal Abidin Hassan pula diberi tanggungjawab untuk memantau Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD),” jelas FAM.

FAM dalam kenyataannya turut menegaskan bahawa selaku badan induk bola sepak negara, pihaknya bersedia mengambil alih pengurusan NFDP dan AMD sekiranya mendapat mandat daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN).

BACA: Mahkamah Perintah KDA FC Bayar Lebih RM300 Ribu Kepada Sony Norde

BACA: KDA FC Diperintah Bayar Lebih RM400 Ribu Kepada Irfan Zakaria

Sumber: FAM