Kuala Lumpur, 5 Mei – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) PC Carigali Mexico Operations S.A. de C.V. (PCCMO) telah menemui dua penemuan minyak di perairan dalam di Mexico.
Penemuan itu melibatkan lokasi di telaga Polok-1 dan Chinwol-1, di Blok 29, terletak di Salina Basin, luar pesisir Mexico.
Dua penemuan ini merupakan kejayaan ketiga selepas syarikat berkenaan menemui minyak di telaga penerokaan Monument di Teluk Mexico bulan lalu.
“Ia merupakan penanda aras yang bermakna bagi Petronas dan usaha-usahanya di Amerika. Kami teruja dengan dua penemuan ini yang membuktikan fokus berterusan kami untuk mengejar peluang mengembangkan sumber dan rizab di lembangan Mexico yang produktif.
“Bersama rakan kongsi kami, kami melihat ke hadapan bagi menilai data untuk mengesahkan potensi komersial penemuan tersebut,” kata Naib Presiden Penerokaan dan Huluan PETRONAS, Emeliana Rice-Oxley dalam satu kenyataan hari ini.
Telaga Polok-1 telah digali sedalam 2,620 meter dan menemui minyak (net oil pay) 200 meter di takungan klastik marin dalam Lower Miocene.
Sementara itu, telaga Chinwol-1 yang terletak 12 kilometer dari Polok-1 pula telah digerudi dengan kedalaman 1,850 meter dan menemui minyak (net oil pay) 150 meter di formasi Pliocene.
Kerja cari gali di telaga Polok-1 bermula pada 29 Feb 2020 dan diikuti penggerudian di telaga Chinwol-1.
Kedua-dua telaga Polok-1 dan Chinwol-1 itu terletak masing-masing pada kedalaman air 584 meter dan 464 meter, kira-kira 75 kilometer Barat laut semenanjung Tabasco.
Melalui PCCMO, Petronas memegang kepentingan dalam 10 blok penerokaan di tiga lembangan utama Mexico dengan keluasan kira-kira 22,000 kilometer persegi.
PCCMO merupakan pengendali lima dari blok tersebut.
Sumber: BERNAMA