PETRONAS Mantapkan Keselamatan Tenaga Malaysia dengan Pemberian Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Bagi Aset Ladang Kecil Kluster Temaris
KUALA LUMPUR, 17 Jun 2025 – PETRONAS, melalui Malaysia Petroleum Management (MPM), telah menganugerahkan Kontrak Perkongsian Pengeluaran Aset Ladang Kecil (SFA PSC) bagi Kluster Temaris kepada Seascape Energy Asia (One) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Seascape Energy Asia plc (Seascape).
Terletak di Lembangan Melayu luar pesisir Semenanjung Malaysia, Kluster Temaris merangkumi medan gas Tembakau dan Mengkuang. Ini merupakan PSC SFA kedua yang dianugerahkan daripada tiga kluster Peluang Sumber Ditemui (DRO) yang ditawarkan di bawah Pusingan Bida Malaysia 2025 yang dilancarkan awal tahun ini.
Terletak secara strategik berhampiran dengan infrastruktur pengeluaran sedia ada, Kluster Temaris mendapat manfaat daripada sinergi pembangunan yang membolehkan kecekapan kos dan pemonetan sumber yang dipercepatkan.
Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir. Bacho Pilong, berkata, “PETRONAS sedang giat membangunkan sumber hidrokarbon Semenanjung Malaysia. Dengan jangkaan pengeluaran sekitar 100 juta kaki padu gas standard sehari (MMscfd) dan sasaran pengeluaran pertama pada tahun 2029, PSC SFA Kluster Temaris menandakan satu lagi pencapaian dalam usaha berterusan kami untuk menyokong keselamatan tenaga negara sambil memacu pertumbuhan mampan dalam industri.”
Sebagai satu-satunya pihak dalam PSC SFA ini, Seascape akan memulakan operasinya di Malaysia, mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan tenaga utama.
Sebagai sebahagian daripada langkah strategik untuk mengembangkan sumber hidrokarbon di Semenanjung Malaysia, PETRONAS turut menandatangani Perjanjian Penilaian Teknikal (TEA) dengan AFED TEXCAL Energy Ventures (AFED TEXCAL) untuk lembangan Langkasuka di Selat Melaka dan POSCO International (POSCO) untuk Lembangan Layang-Layang di luar pesisir Sabah. Kerjasama ini menonjolkan komitmen berterusan PETRONAS untuk mengaktifkan lembangan perintis dan memajukan usaha penerokaan di kawasan yang berpotensi ini.
PETRONAS kekal komited untuk memastikan bekalan minyak dan gas yang optimum dan mampan demi keselamatan tenaga, dengan MPM memainkan peranan penting dalam mengurus sumber petroleum negara serta menyediakan kepimpinan dalam aktiviti huluan petroleum di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai peluang pelaburan di Malaysia, sila layari:👉 https://www.petronas.com/mpm