Gambar : detikjatim

Petani Terkejut Temui Beg Misteri Berisi Mayat Wanita Berhampiran Sawah

Anis Annisa

Petani Terkejut Temui Beg Misteri Berisi Mayat Wanita Berhampiran Sawah

INDONESIA -Seorang petani dilapor menjumpai sebuah beg di sawah yang mengandungi mayat seorang wanita yang sudah reput, lapor detikJatim.

Menurut laporan, beg berwarna merah yang mencurigakan itu ditemui di kawasan berhampiran sawah Dusun Ploso, Gresik dan terdapat bau busuk yang dihasilkan dari beg itu.

Ketua Penduduk Ploso, Suyitno menyatakan kejadian bermula ketika seorang petani hendak ke sawah dan menemui sebuah beg berwarna merah yang mencurigakan.

Apabila dibuka, dia mendapati bahawa beg itu mengandungi mayat seorang wanita yang sudah reput.

“Beg tersebut dijumpai oleh penduduk sekitar yang ingin turun ke sawah sekitar pukul 08.00 waktu tempatan,” kata Suyitno kepada detikJatim, Rabu (9/7/2022).

Jelas Suyitno, ketika itu salah seorang penduduk mahu menebang pokok pisang dan terhidu bau yang busuk. Selepas menjumpai punca bau, mayat wanita itu ditemui dalam beg berwarna merah.

Difahamkan beg tersebut terbuka kerana zipnya telah rosak dan didakwa kerana mayat tersebut bengkak menyebabkan beg itu terbuka.

“Selepas itu, saya terus melaporkan kejadian tersebut ke ketua kampung dan Polis Benjeng,” jelas Suyitno.

Dari pemerhatian detikJatim, mayat wanita itu terbaring di tepi jalan alternatif yang menghubungkan Kampung Bengkelo Lor dan Kampung Geluran Ploso.

Gambar : detikjatim

“Jalan ini memang sunyi, kurang pencahayaan dan rosak. Jalan ini menjadi alternatif sejak Jambatan Kacang runtuh,” tambah Suyitno.

Menurut pihak polis, mereka mengesyaki mayat tersebut adalah mangsa pembunuhan.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Gresik, Iptu Wahyu Rizki Saputro berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung penemuan mayat itu. “Kemungkinan mangsa dibunuh,” kata Wahyu.

Namun, itu hanyalah andaian dan polis masih menyiasat lebih lanjut dengan menjalankan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

Menurut Wahyu berdasarkan keadaan lokasi mayat ditemui, kemungkinan besar mayat dibunuh di tempat lain dan dibuang di situ.

Dilaporkan ketika ditemui penduduk, sebahagian badan mayat terkeluar dari beg tersebut.

“Apabila ditemui, keadaannya (mayat) sebahagiannya keluar dari beg. Mangsa dianggarkan telah meninggal dunia lebih dua hari,” kata Wahyu.

Selepas bedah siasat dilakukan, identiti wanita itu berjaya dikenalpasti.

“Daripada hasil pengecaman, mangsa berumur 42 tahun yang merupakan penduduk Tunjungrejo Lor, Yosowilangun, Lumajang,” kata Wahyu.

Sumber : detikjatim