Pet World Nutritions Perkukuh Komitmen Kebajikan Haiwan dengan Sumbangan kepada Shelter dan Majlis Perbandaran
SHAH ALAM, 17 Julai – Pet World Nutritions Sdn. Bhd. mengukuhkan komitmennya terhadap kebajikan haiwan melalui satu majlis penyerahan sumbangan rasmi yang berlangsung di ibu pejabat syarikat di Shah Alam. Majlis tersebut menyaksikan simbolik penyerahan replika cek yang mewakili hampir setengah juta ringgit nilai sumbangan dalam bentuk hidangan makanan haiwan berkhasiat, yang akan dibekalkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, yang sudi berangkat menghadiri acara tersebut. Keberangkatan baginda mencerminkan sokongan diraja terhadap kemajuan industri pemakanan haiwan peliharaan tempatan serta usaha memperkukuh ekonomi setempat.

Melalui inisiatif ini, lebih 500,000 hidangan makanan haiwan yang lengkap dan berkhasiat akan diagihkan kepada haiwan yang memerlukan sekaligus memperkukuh komitmen Pet World Nutritions dalam memastikan kebajikan haiwan terus diberi perhatian sewajarnya.
Komitmen CSR syarikat tidak terhenti pada sumbangan makanan semata-mata. Pet World Nutrition turut menjalin kerjasama jangka panjang dengan pelbagai pihak termasuk SPCA Selangor dan pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), dan Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang).
Usaha ini juga merangkumi sokongan terhadap penyelidikan melalui perancangan menubuhkan Pusat Penyelidikan Nutrisi Kucing yang pertama di Malaysia bersama MP Sepang, serta Pusat Penyelidikan Nutrisi Anjing bersama MBSA bertujuan meningkatkan pemahaman saintifik dalam bidang pemakanan dan kesejahteraan haiwan peliharaan.

Sehingga kini, inisiatif CSR Pet World Nutritions telah memberi impak yang signifikan dengan lebih daripada 1.8 juta telah didermakan ke pelbagai rumah perlindungan dan organisasi penyelamat haiwan di seluruh negara. Pet World Nutritions juga aktif menjalin kerjasama dengan institusi akademik bagi menyokong penyelidikan serta latihan dalam bidang pemakanan haiwan, selaras dengan matlamat syarikat untuk menggalakkan penjagaan berasaskan sains dan menerajui kemajuan industri ini di peringkat nasional.
Pada asasnya, Pet World Nutritions berpegang pada kepercayaan bahawa setiap haiwan peliharaan berhak menikmati kehidupan terbaik. Melalui kerjasama strategik, amalantanggungjawab sosial yang berterusan dan inovasi dalam pemakanan haiwan, syarikat ini kekal berdedikasi untuk memperkukuh komuniti penjaga haiwan serta memberi manfaat jangka panjang kepada kesejahteraan haiwan di Malaysia.