KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) — Orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas jika melihat pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbang rendah di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang.
TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia adalah latihan sempena persiapan Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM ke-64 yang akan diadakan pada Rabu ini di Pangkalan Udara Subang.
“Sepanjang latihan itu, pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan rendah dan taktikal bagi latihan demonstrasi keupayaan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan TUDM sudah melaksanakan persiapan bagi istiadat perbarisan pada 28 Mei hingga 1 Jun ini yang akan disertai terbang lintas hormat pesawat.
Pada bulan lalu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga telah melaksanakan latihan operasi dan kesiagaan bagi aset-aset udara bermula pada 3 hingga 7 Mac 2022 lalu.
Menurut kenyataan tersebut, latihan operasi kesiagaan ini bertujuan untuk menilai kecekapan anak kapal TUDM, anggota-anggota Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dan pasukan logistik dalam melaksanakan tanggungjawab melindungi kedaulatan negara.
“Latihan ini bertujuan untuk menguji keupayaan peralatan persenjataan serta kesiagaan aset-aset TUDM bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan tugas operasi bersama yang melibatkan pesawat-pesawat dari pelbagai kategori seperti pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter,” kata TUDM.
Tambah kenyataan itu lagi pesawat-pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan-kawasan tertentu khususnya di sekitar negeri Selangor serta Pangkalan Udara Gong Kedak, Pangkalan Udara Butterworth dan Pangkalan Udara Kuantan.
“TUDM ingin memaklumkan kepada orang ramai agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM terbang rendah di sepanjang tempoh latihan operasi dan kesiagaan dilaksanakan,” kata TUDM
— BERNAMA