Pesawat Terhempas Di San Diego, Ranapkan Rumah & Ragut Beberapa Nyawa
Beberapa orang dikhuatiri maut selepas sebuah pesawat kecil terhempas di kawasan perumahan di bandar San Diego, selatan California pada Khamis, lapor AFP.
Penolong Ketua Jabatan Bomba, Dan Eddy berkata terdapat lebih daripada seorang yang terkorban namun mereka sedang menunggu untuk mengetahui bilangan penumpang di dalam pesawat itu.
Menurutnya, pesawat Cessna 550 itu boleh membawa antara lapan hingga 10 orang penumpang, namun jumlah yang berada di dalam pesawat itu ketika kejadian masih belum diketahui
Insiden itu menyebabkan sekurang-kurangnya 10 rumah terbakar dan terkena serpihan yang melayang di kawasan yang luas. Ia juga menyebabkan kereta di kedua-dua belah jalan terbakar.
Bagaimanapun, kemalangan itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan parah atau kematian terhadap penduduk-penduduk di situ.
Kemalangan itu berlaku dalam kabus tebal ketika pesawat itu yang datang dari Kansas menghampiri Lapangan Terbang Eksekutif Montgomery-Gibbs.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata pesawat itu terhempas kira-kira jam 3.45 pagi waktu tempatan.
Kawasan perumahan yang dihentam oleh pesawat itu sebahagian besarnya adalah perumahan tentera. Untuk pengetahuan, San Diego menempatkan fasiliti Tentera Laut AS, pangkalan Kor Marin dan stesen Pengawal Pantai.
Sementara itu, Jabatan Polis San Diego memaklumkan bahawa pihaknya segera bertindak selepas mendapat laporan mengenai kejadian itu.
Mereka juga menasihatkan orang ramai untuk menghubungi pihak berkuasa jika terjumpa serpihan atau terhidu bahan api pesawat tersebut.
Seorang penduduk di situ berkata pegawai polis telah pergi dari rumah ke rumah untuk membawa orang ramai keluar dari rumah mereka.
“Saya segera meluru ke pintu depan dan dapat lihat apa yang berlaku, saya pastikan semua adik-beradik saya terjaga dan berada dalam keadaan baik,” katanya.
Insiden itu berlaku ketika ketegangan yang memuncak di negara itu berhubung isu penerbangan.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, gangguan kawalan trafik udara dilaporkan telah berlaku di lapangan terbang Newark sekurang-kurangnya dua kali.
Sumber: AFP