
Pesawat Kargo Terhempas & Rempuh Kawasan Perniagaan, Api Menjulang Cetus Panik
Sekurang-kurangnya tiga orang terkorban manakala 11 lagi cedera selepas sebuah pesawat kargo milik UPS terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Louisville, Kentucky, pada Selasa.
Memetik laporan AFP, pesawat berkenaan meletup dan terbakar selepas merempuh kawasan perniagaan berhampiran lapangan terbang, menyebabkan asap hitam tebal menjulang di udara.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memaklumkan nahas yang melibatkan pesawat jenis McDonnell Douglas MD-11 tersebut berlaku pada jam 5.15 petang waktu tempatan ketika pesawat dalam penerbangan ke Hawaii.
Gabenor Kentucky, Andy Beshear, berkata angka korban dijangka meningkat kerana laporan awal hanya melibatkan mangsa di kawasan kejadian sahaja.
Sementara itu, status tiga kru UPS yang berada di dalam pesawat ketika kejadian masih belum dapat disahkan.
UPS dalam kenyataan berkata pihaknya masih mendapatkan maklumat lengkap mengenai kru terbabit dan belum dapat mengesahkan sama ada terdapat kecederaan atau kematian dalam kalangan mereka.
“Terdapat beberapa kecederaan dan pesawat juga turut membawa bahan api dalam jumlah yang besar,” ujar Datuk Bandar Louisville, Craig Greenberg.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan FAA dan Persatuan Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB).
Rakaman video yang dikongsi oleh WLKY juga menunjukkan bahagian enjin kiri pesawat terbakar semasa cuba berlepas.
Louisville merupakan hab utama operasi udara UPS di Amerika Syarikat yang telah mengendalikan hampir 2,000 penerbangan setiap hari ke lebih dari 200 negara menggunakan 516 pesawat.
UPS memiliki 294 pesawat, manakala selebihnya merupakan pesawat yang disewa untuk tempoh pendek. Kejadian ini berlaku ketika Amerika Syarikat berdepan dengan penutupan kerajaan yang panjang.
Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy turut memberi amaran tentang kemungkinan akan berlaku kekacauan besar dalam sistem penerbangan.
Duffy turut memberitahu kepada wartawan kemungkinan akan berlaku banyak pembatalan penerbangan.
“Kami mungkin perlu menutup beberapa bahagian ruang udara kerana kawalan tidak dapat dilakukan akibat dari kekurangan kakitangan,” katanya.
Dalam kenyataan beliau di laman X, Duffy menyifatkan rakaman nahas tersebut sebagai insiden yang menyayat hati. Dia juga menyeru agar orang ramai berdoa mengenai keselamatan kesemua kru dan juga untuk warga Louisville.
Januari lalu, sebuah pesawat penumpang American Eagle telah bertembung dengan helikopter tentera Black Hawker di luar kawasan Lapangan Terbang Ronald Reagan, Washington dan telah menyebabkan 67 orang terbunuh.
Nahas itu juga telah menamatkan rekod 16 tahun Amerika Syarikat tanpa kemalangan udara yang mengorbankan nyawa dan kejadian ini telah menimbulkan kebimbangan terhadap sistem kawalan trafik udara yang dianggap kurang tenaga kerja serta penggunaan peralatan usang.
Sumber: AFP