
Pesawat Buatan Indonesia Terlibat Dalam Operasi Rahsia AS Di Venezuela
Sebuah pesawat buatan Indonesia, CN-235 dilaporkan digunakan dalam satu operasi ketenteraan rahsia Amerika Syarikat (AS) yang membawa kepada penahanan Presiden Venezuela, Nicolás Maduro, menerusi misi berprofil tinggi dikenali sebagai Operasi Absolute Resolve.
Beritasatu melaporkan bahawa lebih 150 pesawat pelbagai jenis terlibat dalam operasi tersebut bagi memastikan penguasaan udara sepenuhnya, membuka laluan kemasukan pasukan, serta membawa keluar sasaran dari pusat Caracas.
Ketua Turus Bersama Angkatan Tentera AS, Jeneral Dan Caine berkata operasi itu merupakan kemuncak kepada perancangan dan latihan selama berbulan-bulan, serta dilaksanakan pada waktu paling gelap bagi mengekalkan unsur kejutan taktikal dan keselamatan anggota.
“Operasi ini dijalankan dengan ketepatan tinggi untuk memastikan keselamatan semua anggota dan kejayaan misi,” ujarnya lagi.
Menurut portal Beritasatu, antara pelbagai pesawat tempur dan sokongan berteknologi tinggi yang digunakan, kehadiran CN-235 telah mencuri tumpuan terutamanya di Indonesia.
Pesawat angkut ringan itu dibangunkan hasil kerjasama industri aeroangkasa Sepanyol, CASA, dengan PT Nurtanio, yang kini dikenali sebagai PT Dirgantara Indonesia.
Difahamkan, CN-235 digunakan oleh Angkatan Tentera AS sebagai elemen sokongan operasi, termasuk bagi misi logistik, mobiliti pasukan khas, serta sokongan komunikasi dan pemantauan.
Pesawat itu melengkapkan armada jet tempur dan pesawat risikan strategik yang digerakkan dalam operasi berisiko tinggi berkenaan.
Penggunaan CN-235 dalam misi sensitif tersebut sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai platform ketenteraan yang berkeupayaan dan boleh dipercayai.
Meskipun sering dikaitkan dengan Tentera Udara Indonesia dan misi kemanusiaan, pesawat itu ternyata turut dipercayai untuk digunakan dalam operasi penahanan ketua negara di wilayah asing.
Secara keseluruhan, armada udara Operasi Absolute Resolve melibatkan pesawat tempur siluman F-22 Raptor dan F-35 Lightning II, pesawat serangan F/A-18 Super Hornet, pengebom strategik B-1B Lancer, serta pesawat peperangan elektronik EA-18G Growler.
Dalam pada itu, pesawat amaran awal dan kawalan seperti E-3 Sentry (AWACS), E-2D Hawkeye, dan pesawat risikan RC-135 Rivet Joint turut dikerahkan, disokong oleh penggunaan dron jarak jauh untuk pemantauan masa nyata dan serangan tepat.
CN-235 memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi, terutamanya semasa fasa pengunduran pasukan dari Venezuela, dengan membantu penyelarasan dan pergerakan antara cabang ketenteraan.
Penguasaan udara yang dicapai membolehkan helikopter pasukan khas AS memasuki kawasan sasaran, menahan Maduro dan membawanya keluar tanpa sebarang korban di pihak Amerika Syarikat.
Bagi Indonesia, penglibatan CN-235 dalam operasi ketenteraan global AS menarik perhatian tersendiri, sekali gus membuktikan keupayaan industri pertahanan tempatan yang bukan sahaja digunakan di peringkat domestik dan serantau, malah dipercayai dalam operasi ketenteraan paling sensitif di peringkat antarabangsa.
Sumber: Beritasatu