KUALA LUMPUR, 3 Mac – Pesawat Bombardier CL 415 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini meneruskan operasi membantu memadamkan kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata pesawat amfibia berkenaan diatur gerak atas keperluan yang kritikal dan sangat diperlukan bagi membantu memadam kebakaran di kawasan terlibat berikutan kesukaran untuk diakses melalui jalan darat.
Beliau berkata operasi pemadaman yang bermula pada kira-kira 9.20 pagi tadi menggunakan sumber air yang diambil dari perairan Tanjung Sepat, Kuala Langat dekat sini.
“Bahagian Operasi Udara telah menghantar dua set pasukan penerbang yang terdiri daripada juruterbang dan anak kapal bagi menyertai operasi pemadaman kebakaran itu.
“Sebanyak dua sortie atau sesi penerbangan dijalankan pada hari ini, satu sortie di sebelah pagi manakala satu sortie lagi di sebelah petang,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Zubil berkata pada sesi pagi tadi, sejumlah 60,000 liter air telah digugurkan dengan 10 kali sedutan atau ‘water scooping’ dilakukan bagi memadamkan kebakaran.
“Pemerhatian mendapati hampir 90 peratus kawasan yang ditugaskan kepada Maritim Malaysia telah berjaya dipadamkan,” katanya.
Pesawat yang diterbangkan oleh Lt Kdr Maritim Yusni Sari bersama empat anak kapal itu berlepas dari Stesen Udara Maritim Subang pada kira-kira 9.20 pagi dan operasi pemadaman mengambil masa hampir dua jam.
— BERNAMA