ALOR GAJAH, Seorang pesara dan anggota polis yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah menggunakan kad inden berjumlah lebih RM21,000, sejak tiga tahun lepas.
Tertuduh, Zahari Daud, 59, dan Mior Mohd Syamsul Jalaluddin, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.
Mengikut empat pertuduhan terhadap Zahari, sebagai seorang yang diamanahkan, dia didakwa dengan curangnya melakukan pecah amanah ke atas harta iaitu kad inden bahan api bernilai RM7,833.43 dan menjadikannya untuk kegunaan sendiri di empat stesen minyak di sekitar negeri ini pada 30 Nov dan 2 Dis 2016.
Manakala Mior Mohd Syamsul sebagai seorang yang diamanahkan, dia turut didakwa ke atas 23 pertuduhan melibatkan kesalahan sama membabitkan nilai RM13,851.42 yang dilakukan di sekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Perak sejak Jan 2016 hingga Mei 2017.
Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Ahmad Sazali kemudian membenarkan Zahari diikat jamin RM15,000 dan Mior Mohd Syamsul diikat jamin RM25,000 masing-masing dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Zainal manakala Mior Mohd Syamsul diwakili Peguam Mohd Fadzlullah Ramlee dan Zahari tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 22 Julai untuk sebutan semula kes.
Sumber: BERNAMA